Wednesday, December 31, 2008

Manikavasagam letak jawatan parti


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor berkuat kuasa serta merta hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil ekoran kerajaan negeri yang kini diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menilai pandangan Ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada pilihan raya lalu.

Menurutnya, beliau kesal dengan sesetengah pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memerintah Selangor bersama DAP dan Pas, telah mungkir janji selepas dipilih sebagai wakil rakyat dan gagal menjaga kepentingan rakyat.

"PKR ditubuhkan untuk berjuang demi ketiga-tiga kaum di negara ini. Tetapi tindakan Khalid Ibrahim dalam beberapa perkara mengakibatkan rakyat sudah mula hilang kepercayaan terhadap parti itu.

"Sebagai contoh, 95 peratus kaum India tinggal di Parlimen Kapar tetapi Tan Sri Khalid telah memilih seorang wakil Melayu sebagai Ketua Kampung di kawasan tersebut tanpa menilai pandangan kami,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya yang bertarikh hari ini kepada Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor manakala salinannya dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, beliau juga mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan lebih 50 pemimpin India PKR peringkat nasional mengenai beberapa isu termasuk status dalam parti itu.

Manikavasagam berkata, ahli-ahli India dalam PKR tidak berhasrat untuk meninggalkan parti itu seperti yang didakwa oleh beberapa media sebelum ini.

''Kami tidak akan meninggalkan parti ini tetapi akan memastikan kepentingan kaum India sentiasa terjamin seperti yang dijanjikan oleh beberapa pemimpin PKR.

''Kami juga akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta memanjangkan isu yang timbul di kalangan kaum India negara ini,'' jelasnya.

Katanya, beliau telah menerima tawaran daripada beberapa parti termasuk MIC tetapi beliau tidak berhasrat untuk bergabung dengan mana-mana parti atau menubuhkan parti baru.

Muda : Itu baru mungkir janji kepada kaum India, belum lagi janji kepada kaum Melayu yang tidak ditunaikan.Apa tunggu lagi tinggalkan aje PKR, biar tinggal Anwar seorang aje..

No comments: